Asal-usul dan musabab Pemerintahan_Ganas

Keganasan meningkat secara mendadak selepas tamatnya perang luar negara (1791–1793) dan dengan itu menggambarkan bahawa Pemerintahan Ganas mungkin mempunyai penyebab tambahan.[4] Penyebab itu mungkin termasuk isu-isu dalaman ideologi revolusi,[5] dan/atau keperluan untuk satu alat penindasan politik sewaktu berlakunya pergolakan awam dan luar negara;[4] para sejarawan berlainan pendapat tentang hal ini.

Ramai ahli sejarah membahaskan sebab-sebab mengapa Revolusi Perancis berubah secara radikalnya semasa berlakunya Pemerintahan Ganas pada tahun-tahun 1793–1794. Orang awam berasa kecewa yang kesaksamaan sosial dan langkah-langkah menangani kemiskinan yang dijanjikan pada awalnya oleh Revolusi tidak tercapai. Manifesto orang Marah karangan Jacques Roux pada 25 Jun 1793 memerikan betapa empat tahun selepas Revolusi, matlamat-matlamat ini masih tidak dirasai rakyat kebanyakan.[6] Asas Keganasan berpusat pada penubuhan Jawatankuasa Keselamatan Awam dan ahli militannya yang datang daripada puak Jacobin. Konvensyen Kebangsaan mempercayai bahawa Jawatankuasa perlu memrintah dengan "kuasa hampir bersifat diktator" dan Jawatankuasa diberi kuasa politik baru dan meluas bagi melunaskan kehendak orang ramai.[7]

Mereka yang berkuasa mempercayai penubuhan Jawatankuasa Keselamatan Awam merupakan tindak balas yang tidak diingini tetapi ia satu tindakan bersifat sementara dan perlu diambil memandandangkan tekanan yang muncul akibat peperangan dengan kuasa asing dan perang saudara.[8] Beberapa sejarawan lain juga mencadangkan suasana yang bersaing — pemberontakan dan pendidikan semula di dalam negeri Perancis — sebagai pencetus Keganasan. Pemberontakan anti-Revolusi di Lyon, Brittany, Vendee, Nantes dan Marseille mengancam Revolusi dengan kemasukan idea-idea setiaraja (penyokong sistem beraja).[9]

Ada juga sejarawan yang berpendapat tidak mungkin suasana politik sahaja yang mendorong Keganasan kerana "risiko kepada Revolusi berada pada tahap yang paling tinggi" pada pertengahan tahun 1793, namun "tindakan Tribunal Revolusi relatif minimal".[10] Keganasan meluas serta peningkatan pelaksanaan hukuman bunuh muncul selepas ancaman luaran dan dalaman banyak berkurangan. Justeru ideologi memainkan peranan penting dalam peningkatan Pemerintahan Ganas kerana "pembaharuan semula manusia" menjadi tema utama Jawatankuasa Keselamatan Awam ketika mereka mencuba menyematkan impian kuasa memilih dan kerajaan progresif di kalangan rakyat.[11] Semakin luas ideologi ini menular, semakin meningkat penggunaan keganasan dalam pembanterasan aktiviti anti-Revolusi kerana "mereka yang berpandangan sederhana akan menerima, menyokong, malah menyanjung tindakan orang yang lebih ganas" kerana khuatir mereka akan dikira sebagai penyokong anti-Revolusi jika tidak berbuat demikian.[12]